NowyouSEEme

TENTANG HIBISCUS MALAYSIA

Hibiscus Petroleum Berhad (Hibiscus Petroleum) merupakan sebuah syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas bebas pertama yang tersenarai di Bursa Malaysia. Aktiviti utama kami tertumpu pada pembinaan dan penyampaian nilai daripada medan minyak dan pengembangan portfolio pembangunan dan penghasilan aset minyak  di United Kingdom, Malaysia, Australia dan Vietnam. 

North Sabah PSC yang diuruskan oleh anak syarikat milik penuh Hibiscus Petroleum, SEA Hibiscus Sdn Bhd, merupakan aset minyak dan gas pertama kami di Malaysia. Pada bulan Januari 2022, kami telah memperluaskan operasi kami dengan mengendalikan Kawasan Komersial PM3 (PM3-CAA) di sempadan Malaysia-Vietnam, Blok PM305 dan PM314 di Semenanjung Malaysia dan Kinabalu Oil PSC di Sabah. Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT) juga turut dikendalikan oleh SEA Hibiscus.  

Sebagai sebuah syarikat yang menitikberatkan tanggungjawab sosial, Hibiscus Petroleum mengendalikan program-program yang berobjektif untuk meningkatkan kualiti hidup dan sosio-ekonomi komuniti di kawasan kami beroperasi. Kami menyedari kepentingan membina hubungan baik dengan masyarakat setempat dan memberikan peluang penjanaan kapasiti yang mampan. Dengan melaksanakan inisiatif inklusif sedemikian, kami berharap bahawa Hibiscus Petroleum dapat membina kepercayaan dengan komuniti setempat dan mengukuhkan hubungan bersama pihak berkepentingan kami.   

Sabah mempunyai bilangan pesakit Thalassaemia tertinggi di Malaysia. Pada tahun 2022, kami akan menganjurkan aktiviti seperti kempen kesedaran dan seminar gaya hidup sihat, sumbangan darah serta ceramah kerjaya untuk belia dengan kerjasama Persatuan Thalassaemia Sabah. Di Terengganu pula, kami telah menaja kelengkapan peralatan unit penjagaan harian untuk pesakit Thalassaemia di Hospital Hulu Terengganu.  

Aktiviti terkini yang giat dijalankan ialah kempen ‘Nowyouseeme dengan kerjasama dan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia,  mempunyai objektif-objektif berikut:  

  1. Meningkatkan pengetahuan kesihatan dan kesedaran pelajar sekolah di Malaysia mengenai punca, gejala, kesan dan rawatan untuk penyakit Thalassaemia;  
  2. Memupuk elemen kemahiran berfikir aras tinggi (kbat) melalui penyertaan pelajar sepanjang pelaksanaan kempen;  
  3. Memajukan kedudukan Hibiscus Petroleum sebagai sebuah syarikat pelbagai tenaga yang menekankan hasil dan impak positif dalam projek-projek pelaburan sosial kami;  
  4. Menyumbang ke arah matlamat Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membebaskan Malaysia daripada penyakit Thalassaemia menjelang tahun 2050.